Wednesday, January 14, 2026

Siri Alkisah : Keracunan Karbon Monoksida

Beredar di media sosial tentang kematian pasangan kekasih disyaki disebabkan keracunan karbon monoksida dalam sebuah kenderaan di Sandakan.

aku pernah ada pengalaman keracunan karbon monoksida pada tahun 2021.

Gara-gara membeli barangan dari aplikasi atas talian tanpa menyelidik baik dan buruk, andang semuanya di hujung jari.

Masa itu aku bertugas di unit tingkat atas bangunan pejabat yang suhu penghawa dinginnya setaraf dengan suhu di Panalaban khususnya musim puasa sehingga terpaksa membawa selimut untuk menutupi kaki di pejabat.

Akibatnya aku tanpa berfikir panjang, belilah alat pemanas 

Masa mula-mula pakai tidak ada masalah, selesa dan akulah orang paling bahagia dalam pejabat sedangkan yang lain terus merungut kesejukan.

Selepas sebulan lebih penggunaan, aku mulai nampak seperti tompokan garam atau permukaan sekeliling bahagian belakang kipas pemanas seperti bahan plastiknya melecur.

Aku anggap itu biasa.

Namun aku mulai rasai perbezaan yang mana aku cepat merasa lemah dalam pejabat.

Hal ini berlanjutan sehingga pada kemuncaknya aku merasa berat kepala yang amat sangat disertai dengan rasa mengantuk yang luarbiasa.

Rasa berat dan mengantuk ini berterusan walaupun berada di luar pejabat.

(2 hari sebelum bertolak untuk kembara berbasikal)

Yang peliknya aku langsung tidak merasa sakit. Hanya mengantuk dan rasa berat, tiada simptom demam, hanya berat dan mengantuk.

Hendak ke klinik namun aku tidak tahu apa yang patut aku terangkan kerana aku tidak merasa badan penat sama sekali sehingga rasa mengantuk itu keterlaluan. Nanti kena marah doktor lagi dan dikata, "mungkin anda cuma pemalas dan suka tidur".

Lalu aku gagahkan juga meneruskan aktiviti seperti normal, termasuklah melepak di kedai kopi dengan adik beradik dan seterusnya melakukan kembara berbasikal selama 3 hari 2 malam ke Kota Belud.

(Sehari sebelum bertolak ke Kota Belud)

Sebelum aku memulakan pengembaraan aku berdoa, doa yang sering aku panjatkan sebelum memulai sebarang aktiviti kembara,

"Semoga jumpa apa yang dicari"

Lalu aku berharap sepanjang kembara aku akan menemui jawapan punca rasa berat mengantuk itu.

Syukur sepanjang kembara, mungkin disebabkan aktiviti yang ekstrim sehinggakan seperti slogan ubat Panadol, "anda rasa saya ada masa untuk sakit kepala?"

atau mungkin kerana dikelilingi alam semulajadi yang menyegarkan.

Sedikit pun rasa berat mengantuk tidak terasa.

Syukur selepas kembali dari kembara yang pastinya memberikan perspektif baru dalam menjalani kehidupan, sebaik saja aku sampai di pejabat aku menurut naluriku dan membuang pemanas tersebut serta berniat untuk membeli yang baru dan berlainan model sambil itu dalam masa yang sama aku membuat kajian sendiri menggunakan Google tentang apa yang mengakibatkan simptom berat mengantuk tersebut.

Ada juga terdetik di dalam hati mungkin...ianya simptom penyakit kronik dan manalah tahu umurku tidak panjang.

Pada waktu itulah...aku mendapati aku keracunan karbon monoksida daripada kebocoran alat pemanas murahan itu.

Apa yang ingin ku sampaikan ialah, terkadang asbab kematian kita boleh berpunca daripada hal yang sangat biasa dan tidak disangka-sangka sama sekali.

Hargailah kehidupan ini.

No comments:

Post a Comment