Siapa pun boleh mendaki gunung, siapa pun boleh ultra trail 100km, siapa pun boleh berjalan kaki/berbasikal merentas negara. Siapa pun boleh.
Kecuali yang sakit.
Soalnya semua akan berbalik kepada rezeki. Mungkinkah sampai ke puncak menjadi rezeki kita?
Mungkinkah sampai ke garisan penamat menjadi rezeki kita? Mungkinkah menghabisi misi dengan jayanya menjadi rezeki kita?
Tiada siapa punyai jawapannya.
Ada yang terlihatkan jalan menuju kegagalan apabila dibuai oleh selingan seperti anxiety attack, panic attack, low self-confidence atau feeling down di sepanjang proses.
Namun ada pula yang seumpama trailer petanda kegagalan apabila diberi ujian penyakit dan kecederaan. Umumnya itu suatu petunjuk pasti bahawa kejayaan itu pasti bukan milik kita pada episod itu, mungkin kita diharuskan untuk mencuba lagi di episod hidup kita yang akan datang.
Namun, Jikalau…rezekimu bukan kejayaan, bukan sampai ke puncak, bukan sampai ke garisan penamat, tetapi, rezekimu ialah mendapat Sahabat yang baik. Yang setia, yang prihatin, yang menjaga dan membimbingmu, bak malaikat menyantuni setiap langkahmu.
Bukankah penceritaan itu berubah kepada suatu yang bukan lagi tentang sampai ke puncak (sungguhpun benar engkau sampai atau tidak)
Penceritaan itu berunsurkan kenikmatan hidup hanya dengan memiliki seseorang yang berada disampingmu. Tidak kira sama ada ianya menjanjikan keberhasilan atau tidak.
Seumur perjalanan itu ianya berkisarkan tentang kurniaan baiknya sifat seorang manusia kepada manusia yang lain.
Benar zaman kini, nilai kemanusiaan semakin pupus. Mungkin disebabkan ramainya populasi manusia di bumi sehinggakan setiap orang merasa kesunyian kerana rasa keistimewaan diri sendiri a.k.a keAKUan.
Aku yang penting, aku yang duluan, aku yang pertama sampai ke puncak, aku yang duluan siap, aku yang harus sampai ke garisan penamat sebelum dia, aku yang laju, aku yang lasak, aku yang kuat, aku yang biasa naik gunung, aku yang berpengalaman, aku yang menang, aku yang ini, aku yang itu, aku, aku, aku.
Merasakan diri istimewa, berbeza, luar biasa, unik, terkecuali, khusus, eksklusif, hebat, super, utama, INDIVIDUAL.
Hal ini jua yang mungkin menjadikan nilai kemasyarakatan sedikit demi sedikit hilang.
Hakikatnya, kita semua sama. Wujud kita pun adalah hasil daripada rasa kesamaan itu. Tanyakan kepada ibubapa kenapa mereka sanggup mencukupkan keperluan kita, memberikan kita yang lebih baik daripada yang pernah dirasainya.
Pasti penceritaannya begini, “dulu bapa pi sekolah jalan kaki saja nak. Dari rumah kampung tanpa kasut berjalan 10km untuk ke sekolah. Sebab tu la bapa nak kau belajar sampai berjaya, Atuk kau dulu beria kerja sampai sakit untuk besarkan bapa. Sebab tu bapa nak kau membesar dengan selesa."
Nampak intipati penjelasannya? Bapa pun pernah jadi anak macam kau nak.
Bapa sama sepertimu.
Semasa kau sekolah, pasti kau pernah merasai kebaikan makcik kantin atau, mak kawan kau, atau makcik van sekolah. Aku pernah semasa berumur 8 tahun.
Akibat kerana leka bermain keluar masuk semak hutan bersebelahan sekolah aku ketinggalan bas sekolah.
Selepas mengembara beberapa lama, aku keluar dari semak dan tersedar jumlah orang yang menunggu bas mulai berkurangan. Aku tetap menunggu bas. Lama kelamaan hanya aku yang tinggal berseorangan. Tidak tahu berbuat apa aku kekal duduk dengan beg sekolah dibahu. Dari jauh kelihatan seorang wanita muda dengan kelam kabut menuju ke pondok. Apabila sampai dia bertanyakan jika aku ada terjumpa anaknya yang tidak kukenali. Aku menjawab tidak tahu dan segera memaklumkan dia, hanya aku yang tinggal. Dia memandangku seketika lalu membawaku, “marilah ikut makcik”
Dia membawaku ke tempat kerjanya iaitu ke dalam dapur kedai makan dan meminta izin dari rakan sekerjanya yang sedang mencuci piring untuk keluar menghantarku pulang. Rakannya bertanya “anak siapa juga tu?” Dia menjawab tidak kenal dan langsung berkata “...tapi kesian sebab macam seumuran anakku”
Kami menaiki bas ke tempat tinggalku, sebelum turun dia bertanya, “pandai menyeberang jalanraya?” ya kataku, diselitkannya duit 50 sen, memesan aku berhati-hati dan tidak ketinggalan bas lagi lain kali.
Rasa kesamaan itulah yang membuatkannya menghantarku pulang. Aku sama seperti anaknya.
Sedari sifat keAKUan itulah yang menghapuskan rasa kesamaan manusia.
Semakin ramai orang mahu mengaku berbeza dari lainnya, dan yang lain itu bermaksud orang-orang yang tidak bererti, orang-orang yang lemah darinya, orang-orang yang tidak seistimewa, tidak sepenting dirinya sendiri.
Namun, masih wujud manusia yang memiliki rasa kesamaan itu. Sehinggakan ia melangkaui keinginan untuk merasakan sifat keAKUan itu.
Tahu apa yang menjadi ‘nyawa’ kepada sifat kesamaan?
Cinta Kasih Sayang. (Quran ; 30:21,49:10, 2:195,5:48 & 3:92)
‘Nyawa’ inilah yang melepaskan ingin, melepaskan ego, melepaskan nafsu, melepaskan keistimewaan diri sendiri dan mendukung rasa cinta kasih sayang seperti ibu dan bapa mendukung bayinya yang baru lahir.
Sakitmu disembuhkan, laparmu dikenyangkan, takutmu diredakan.
Sesiapa pun boleh menjadi hebat dalam urusan kegagahan kemampuan, kekuatan dalam mencapai gol dan target.
Namun, Tuhan melakar.
Hidup tidak semuanya bergantung kepada diri sendiri, ada hal yang diwujudkan untuk mengajar kita tentang kebersamaan yang jauh lebih bernilai daripada sehanya kejayaan demi memuaskan diri sendiri.
Benar cabaran hidup mendidik kita supaya lebih ampuh dan berkemahiran. Namun, Tuhan melakar. Terserah apa yang kita serap dari dalam lakarannya. Dan dalam sesebuah lakaran, terkandung sejuta pengajaran. Sama ada itu sesuatu hal yang belum kita kuasai, contohnya ujian tahap kesabaran, ujian tahap stamina, ujian tahap iman atau hal yang perlu kita kuasai seperti kompetensi dalam menyelesaikan suatu persoalan.
Dan terkadang sebagai manusia, ada waktunya hidup serasa monoton. Pagi kerja, malam rehat, lapar makan, penat tidur. Hal ini yang membuatkan kita ingin mencari cabaran kerana keinginan kita untuk bertambah ampuh dan berkemahiran dalam kehidupan.
Lalu ini yang membuatkan kita mengikuti program kembara lasak kerana tidak dinafikan aktiviti sedemikian mampu memberikan rasa ‘hidup’ berbanding rutin sama yang terpaksa dilalui sehari-harian.
Tujuannya pastilah sampai ke penghabisan dengan berjaya namun, Tuhan melakar.
Ada waktunya kita diuji dengan penyakit dan kecederaan (nota kaki : Khusus untuk penyakit dan cedera bukan yang drama & propa yang itu, nasihatkan dia supaya kurangkan bercakap demi kesejahteraan pendaki lain). Hal ini pastinya menjadi indikator penentu jaya atau gagal, sesiapa pun tidak dapat mengelak malah hal tersebut tidak semestinya berpunca dari kesilapan diri sendiri. Ada yang telah memastikan keberhasilan dengan berhati-hati namun, Tuhan melakar. Tiba-tiba dijangkiti flu. Berjalan penuh hemat berbekalkan pengalaman mendaki yang banyak namun Tuhan, melakar ; tersadung dan cedera.
Sedari bila hal ini terjadi, ujian tersebut bukan hanya milik yang cedera atau sakit. Tapi juga ujian kepada team pendakian tersebut.
Lalu apa yang harus dilakukan?
Berbalik kepada elemen Kesamaan dan KeAKUan tadi.
(Himalaya di bulan Ogos, hujan berpanjangan, angin dan altitud tinggi)
Sepanjang pengalaman di Himalaya pada tahun 2019, tak satu hari pun sahabat saya tidak memastikan saya berada di tahap optimum. Beliau akan memantau sekiranya saya cukup makan dan rehat. Apabila demam saya menjelma di hari ketiga, beliau mulai mengingatkan saya untuk makan ubat. Dan di hari kelima apabila saya mulai berputus asa. Hebatnya dia tidak berputus terhadap saya. Kata-kata yang akan saya ingat sampai hayat,“
take one day at a time. Tidak perlu decide apa-apa untuk malam ini. Kita tidur, esok kita putuskan”
(Sahabat yang sentiasa memantau dari belakang)
Di kesempatan penulisan ini, saya ingin bertanya kepada pembaca, pernahkah anda merasa takut untuk tidur kerana merasakan esok anda tidak bangun lagi?”
Dalam kehidupan saya, ada beberapa kali terjadi di usia muda. Pada masa kini di umur separuh usia saya akui, hampir setiap malam saya mengucap 2 kalimah syahadah sebelum tidur kerana pada usia inilah waktu-waktunya kita dijemput pulang oleh Tuhan.
Segagah apa pun kita, namun bila sakit pada waktunya pastinya ia hal yang paling mencabar sehinggakan seumpama di antara hidup dan mati untuk memastikan kejayaan dalam aktiviti lasak.
Tidak dinafikan ada yang berjaya walaupun diuji dengan penyakit dan kecederaan. Bagi saya itu bererti ujiannya ialah tentang tahap kesabaran dan kesungguhan dirinya sendiri.
Namun ada juga yang berjaya kerana ujian itu tidak hanya tentang kesabaran dan kesungguhan, namun ujian tersebut adalah serentak untuk dirinya dan orang sekitarnya.
(selayaknya give up namun, "take one day at time")
Si sakit dan cedera bukan main character. Namun si sahabat yang menjaga, membimbing dan menemaninya lah sebagai main character.
Oleh itu, jadilah manusia yang mengangkat dan memelihara sifat Kesamaan.
Sifat keAKUan hanya menyelamatkan ego, nafsu dan ghairah kita.
Namun sebagai manusia, bukan hanya sentimen tersebut menjadikan kita manusia. Sentimen cinta tanpa syarat, inilah yang benar-benar menjadikan kita istimewa.
Kebersamaan menghadapi kesusahan, rasa kebersamaan ‘aku sama seperti dia’ hal inilah yang mampu membuatkan kita lebih ampuh dan berkemahiran menghadapi hidup.
Cinta tanpa syarat ialah elemen utama dalam menginspirasikan rasa’hidup’, pengalaman berkorban, berjuang, bertarung hanya berbekalkan rasa cinta kasih dan sayang itulah yang benar-benar membuatkan kita ‘Hidup’.
(Kesamaan : terus memegang bahuku)
Rasa keAKUAn akhirnya hanya semakin mengasingkan kita dari orang lain. Setiap langkah kita meninggalkan seseorang yang mungkin memerlukan kita, sejauh itu membawa kita ke dunia kecil dan sempit yang kita reka hanya untuk menikmati rasa “Aku hebat kerana ini ialah pendakian ku yang 100 berhasil tanpa gagal”.
Sejujurnya, rasa kebersamaan mungkin tidak menjanjikan keberhasilan malah kita mungkin gagal sampai ke puncak namun hakikatnya, ujian tersebut bukan tentang sampai ke puncak namun tentang kehebatan diri kita meneduhkan ego diri sendiri. Mengawalnya dan membuatkannya mengerti bahawa Engkau yang sejati adalah I am the master of my fate, I am the captain of my soul. -William Ernest Henley.
Engkau yang menyatukan Ego dan Naluri. Engkau yang menyedari pemikiranmu, Engkau yang merasai emosimu, Engkau yang bijaksana mengawal atur keputusanmu.
Tidak dinafikan menghapuskan ego dan mengalah demi naluri adalah hal yang sulit kerana itu bererti kita sengaja merugikan usaha kita sendiri, selama training, kos pendakian dan sudah jauh berimaginasi sampai ke puncak namun, adakalanya sahabat kita sendiri tak sanggup kita membuangnya semua hanya kerana ingin menemaninya.
Yakinlah cinta kasih sayang yang engkau pancarkan akan kembali padamu, Sahabatmu sendiri akan menguatkan dirinya untuk meneruskan langkah demi memastikan kau tak gagal hanya deminya.
“anu, ko naiklah terus. Saya nampak puncak pun cukuplah, kira sampai sudah tu” (pendakian tahun 2018 kali pertama untuknya)
“tidaklah, saya pun penat dan lapar ni. Pelan-pelan saja kita” (pendakian kali ke-6 buat sahabatnya)
Dia merenung, tunduk seketika dan bangun,
“bah jomlah, sayang pula kalau kau yang tidak sampai puncak”
Lalu dia sampai ke puncak dan sahabatnya kekal sebagai sweeper.
(orang terakhir sampai ke puncak sambil memberi tepukan buat sahabat yang hingga merangkak mencapai signboard puncak)
Dan pada akhirnya…cara paling sempurna untuk menjadi lebih ampuh dan berkemahiran dalam hidup ialah dengan hidup bermasyarakat, menjunjung kesamaan dan mengakui kau, aku dan dia ialah setara.
Sekian, semoga kita semua ambil iktibar atas semua yang berlaku.