43 seusia pc IBM timbul dibenak untuk meneruskan kelana ke Gunung Trusmadi pula. Terbit dibenak rasa FOMO pabila menjadi pendaki paling senior dalam kembara kali ini. Namun rasa itu ditelan jua demi memenangkan ego yang sebenarnya tidak membuat persiapan sebaiknya untuk pendakian kali ini.
Jujur khilaf itu tidak dianalisa dari mula meninggalkan tapak kaki di pintu rumah dan hanya di introspeksi semasa menggigil di ketinggian 1800 meter.
Keperluan asas untuk pendakian seperti inner & stokin thermal, hot water pouch, heat patch, vaseline malah adidas kampung juga ku abaikan dengan bisikan “anggap saja macam aki nabalu”
Keliru total.
Setibanya di Sinua, setenang buaian angin meniupkan nyawa ke ruang tanaman padi, kebun halia dan kolam-kolam ikan melembutkan lara hati yang mengidamkan suasana alam tidak terlukakan oleh modenisasi. Gerak mata ku mendalami setiap zona yang mampu ku selaraskan dengan auranya. Tidak ku temui rasa pahit mahupun getir hanya saja suatu rasa stagnan. Ku tanyakan pada diri “stagnan…apa imbangan baik buruknya?” Ku simpulkan, mungkin stagnan itu ertinya ‘seadanya saja’ Maka, itulah bekalan niat yang kusemat sebelum pendakian 7 kilometer ke Base camp 2 iaitu keesokan paginya.
Memikul beban 10kg yang tidak wajar akibat pemilihan bag yang materialnya tidak mesra hardcore. Agak londeh dan tidak menyokong tulang belakang. Awalnya merancang untuk mendaki secara minimalis menggunakan hydration vest saja namun, naluri ‘Aunty²’ memutuskan untuk menggalas beg yang seharusnya ditinggalkan. Inilah punca kita berkelana, iaitu belajar malah mengumpul kesilapan diri sendiri demi mematangkan diri sendiri bagi kelana yang seterusnya.
Pendakian 7km masih disinari cahaya matahari dengan berselang selikan angin deras dan awan sekali sekala membawa mendung. Suasana ambien enak saja dengan muka bumi yang berbatu, berakar dan berseni. Jujur dalam tempoh 5 jam setengah agak mencabar untuk menikmati pendakian kerana beban dibahu yang wajar semakin terasa. Cara aku untuk menghadapinya ialah dengan menggunakan emosi untuk menikmati komorebi dan juga mental logikal yang menganggar pace dan jarak. “hanya perlu 3 jam lagi” “akan sampai anggaran 1230hrs, paling tidak pun sebelum 2pm” “hanya 500 meter lagi”.
Hal yang paling ku sedari ialah penanda lokasi dan jarak agak samar namun dihujung kembara wujud hipotesis ku sendiri mengapa benda asas ini tidak dilaksanakan oleh hos Sinua.
Perasaan melihat bumbung basecamp 2 adalah seperti meleraikan tekanan di dada, apa tidaknya overthinking yang membelenggu sejak 300 meter sebelumnya dek karna tidak ada penanda seperti yang terbiasa di kawasan gunung terkenal yang menyatakan jumlah meter semakin mendekati tempat untuk bermalam.
Sesampainya masih bisa berlegar dengan pakaian senipis tshirt namun semakin gelap hari, kesejukan semakin terasa dan pada masa ini kekhuatiran belum timbul karna wajar merasakan hal itu biasa. Namun…angin juga mulai menghempas tetapi masih jua merasakan “ini biasa”
Jam 5 petang terketar-ketar memegang cangkir air panas dan berbusana dengan 3 lapis pakaian. Disini mulai terkenangkan stokin thermal sebanyak 2 set di dalam almari rak kedua disudut bilik tidur sejauh 3jam setengah dari Sinua. Apakan daya…mulai menyedari, Trusmadi bukan sebiasa andaian.
Klimaks kekhilafan menyerang pada pukul 11 malam lebih. Segala perkakas mulai bermain didalam pikiran apatah lagi anxiety sehingga meluru keluar dari khemah terhuyung-hayang sebagai ikhtiar untuk keluar dari kotak pemikiran yang menuju ke arah negatif dan ke tandas dalam keadaan ribut.
Inilah waktu yang paling meragukan sehingga subuh menjelma. Gigil yang luarbiasa sama seperti hentaman angin ke pondok base camp 2 yang bagiku luarbiasa karna kurasakan tanah juga bergetar. Hal unik yang kurasakan ialah selepas hentaman angin ribut sebelum disusuli dengan seterusnya akan ada waktu yang amat senyap sebelum hentaman yang deras tanpa batas. Pada waktu inilah ketakutan mulai melanda ditambah lagi dengan ingatan-ingatan tentang kes pendakian berakhir ajal akibat Hypothermia. Mulai aku mempersoalkan umurku, tahap kesihatanku sebagai penghidap gastrik, terkenang sejarah-sejarah lalu kelemahanku menghadapi suhu sejuk sejak kecil dan mental imej mulai memainkan drama jasadku sedang diusung turun ke bawah. Hal ini tidak wajar kita layani namun hakikatnya hal ini bisa berlaku kepada sesiapa saja. Aku mulai mengenang apa solatku di atas tarp menyerupai stretcher tadi cukup untuk bekalan ibadah?. Gegas aku bangun kali kedua untuk ke tandas. Pedoman aku melarang anxiety ku daripada mengemudi minda ialah dengan menggunakan pengalaman 4 tahun duduk di pejabat yang bersuhu kutub utara iaitu, seharusnya jika kita berada dalam environment yang sejuk umum kita enggan minum air karna akan menambah rasa ingin kencing. Namun sebenarnya minum air secara berkala malah membuang air kencing adalah cara regulasi suhu badan yang terbaik, ambil contohi polisi hospital yang hanya membenarkan ibu dan bayi baru lahir di discaj selepas kencing dan berak.
Dikala semua sahabat pendaki menenangkan fikiran karna aku yakin semuanya tidak lena tidur kerana pondok kami lebih terdedah kepada pukulan angin berbanding pondok sebelah yang lebih rendah aku menyibukkan diri dengan minum air dan menunggu waktu terbaik untuk ke tandas. Jam 2 pagi sekali lagi aku ke tandas, waktu ini kami sudah terlewat sejam lebih untuk pendakian ke puncak. Diluar khemah kelihatan Waning Gibbous dengan amat terang sambil dilintasi oleh awan namun deras angin masih tanpa janji akan berakhir mahupun reda. Sekembalinya ke tempat tidur dalam keadaan gigil yang merunsingkan serasa ada yang mencucuk didada kiri dan pada saat inilah aku menerima bagaimana mampu Hypothermia meragut nyawa. Lalu aku tidak tidur dan mulai memujuk hati mengatakan “jika kau mampu bersekang mata hampir 40 jam, kau pasti bisa menghadapi ini” pengalaman mencuba untuk menamatkan larian ultra trail marathon menjadi rumusan iaitu berjaga mulai jam 3 pagi hari pertama sehingga 6 petang hari kedua. Sungguh Tuhan menciptakan manusia sebagai makhluk yang kuat. Kegusaran hati mulai mereka-reka situasi bagaimana mungkin keadaan semasa pendakian ke puncak nanti. Ku bisikkan dalam hati “ku relakan semua, andai terus maka itulah ketetapan namun andai tidak maka itu adalah pengajaran”
Dan pada akhirnya sehingga pukul 6 pagi angin ribut juga tidak juga reda mahupun menandakan akan reda. Kekecewaan kali ini aku hadapi dengan tenang tanpa berontak. Mungkin juga selepas apa yang aku lalui semalaman atau mungkin juga hakikat Taufan Yagi yang sedang melanda nusantara. Setidaknya kuhiasi kecewa itu dengan mengintai 200 meter laluan ke puncak yang aku sedari sama sekali tidak mudah seperti andaian. Ruang trail kecil jika dilalui pada waktu gelap dan sejuk pasti membantai mental dan emosi. Ternyata pilihan Trusmadi via Sinua khusus untuk pecinta pendakian hardcore.
Kelegaan mulai memenuhi ruang minda setibanya semula ke base camp 1 dengan menghubungi anak-anak menerusi video. Syukur keberadaan mereka dalam lindunganNya yang santai menerima berita penangguhan pendakian ke puncak disebabkan elemen cuaca yang tidak dijangka.
Aku mulai mengisi waktu menunggu kenderaan pulang dengan berbual dengan Dennis Ikon hos Mt. Trusmadi climb via Sinua. Sahabat di zaman muda semasa berkerja sebagai pemandu pelancong. Kali terakhir kami bertemu mungkin pada tahun 2006 iaitu tahun terakhir aku berada di Sandakan seterusnya berpindah ke Kota Kinabalu. Jelas kelihatan intipati dan belief yang kami bawa sebagai pemandu pelancong di lewat 90-an dan awal 2000 dalam setiap sudut penjelmaan program Trusmadi via Sinua. Antaranya ialah penggunaan bahasa kami semasa menerangkan kepada pelancong iaitu 'vegetation' dan 'water catchment'. Dennis mengusahakan program pendakian seawal tahun 2010 namun pada masa itu hanya beberapa pelancong datang dalam setahun dan marketing pendakian juga khusus untuk meraka yang tegar dan berilmu dalam kehutanan serta punyai kemahiran survival. Inilah yang menyebabkan aku mengandaikan mengapa beliau tidak membuat penanda lokasi dengan jelas, mungkin kerana ingin menerbitkan rasa elusive yang identical hanya ada pada Trusmadi. Jika diberi penanda maka sinonim dengan arus perdana a.k.a mainstream yang berantagonis dengan underground iaitu berkonotasi private, tersembunyi dan eksklusif. Tujuan mengangkat sentimen tersebut adalah untuk reservasi alam supaya mengurangi impak manusia ke atas alam sekitar sekaligus mendidik manusia tentang batas di antara alam dan manusia justeru itu, akur bahawa harus wujud boundaries di antara interaksi manusia dengan alam dengan menggunakan elemen estetik sebagi kod etika bila berada di suasana alam yang masih terpelihara aslinya. Aku menyokong penuh sentimen ini maka disini aku sarankan jika ingin pendakian yang bermaksud untuk mengusapi diri dengan alam natural dengan jangkamasa yang lebih extensive maka pilihlah Sinua. Keseriusan dan nekad pendaki harus diputuskan sebelum memilih program ini karna terselit pelbagai risiko yang di atur oleh alam semulajadi sendiri sama ada pendakian berjaya sampai ke puncak atau sebaliknya. Senekad Dennis Ikon membina bangunan lobi dengan usaha titik peluhnya sendiri dibantu oleh komuniti setempat. Beliau terbukti membuka ruang pekerjaan dan meletakkan Sinua ke penglihatan dunia. Kampung yang senyap dan sunyi merupakan pemula kepada pendakian yang sulit namun menepati citarasa bagi mereka yang ingin bersatu dengan alam. Kegigihan beliau membuka ruang ekonomi setempat juga menyeluruh sehingga kepada pembekalan makanan buat pendaki juga diambil daripada pekebun dan petani setempat. Pembinaan lobi yang menggunakan material bamboo juga dicarinya sendiri sehingga menjadi ruang menyelesakan buat pendaki berkumpul bertukar cerita. Selama aku mengenal Dennis beliau nampak biasa saja, selepas 18 tahun baru ku sedari betapa seorang yang biasa mampu melakukan sesuatu yang luarbiasa sekiranya kau dalami susurgalur kehidupannya. Hal ini bisa terjadi kepada sesiapapun, termasuk kau dan aku. Sosok Dennis yang sedang bercerita didepanku membuatkan aku bermonolog “bagaimana dengan aku?apa yang aku lakukan didalam hidupku?”….rasanya, hanya buat seseorang yang ingin mendalamiku mampu memberikan jawapan. Karna jika aku ditanya saat ini, siapa aku di mata dunia. Pasti kujawab “hanya seorang petualang” namun mungkin itu bukan jawapan yang diberi oleh anak-anakku, ataupun bapaku begitu juga dengan insan-insan rapatku. Perjuangan Dennis kini disambung oleh generasi muda iaitu anak dan sanak saudara yang masih berdarah muda. Jelas tidak semua ilmu dapat diturunkan kepada golongan muda mungkin disebabkan jurang generasi mungkin juga disebabkan tekanan ekonomi. Sejujurnya hanya individu yang memiliki rasa cinta yang mendalam kepada alam yang punya rasa tanggungjawab yang tinggi untuk melakukan sebarang pekerjaan berkait dengan alam. Jika hanya ingin meneruskan kelangsungan hidup pasti akan timbul rasa bosan ataupaun ketidakpastian dalam perjalanan meneruskan motif keserasian dengan alam sebagai bentuk penjanaan ekonomi. Namun hal ini bisa dipupuk karna fitrah manusia itu merasa Bahagia. Bahagia dengan membahagiakan, Bahagia dalam merasakan, Bahagia dalam penerimaan malah Bahagia dalam penyerahan total tentang apa adanya.
Pendakian kali ini terpaksa ditangguhkan ke puncak karna alam belum merasakan waktunya untuk setiap kami menapak dibumi Tuhan disudut itu. Seperti yang kukatakan, “andai terus maka itulah ketetapan namun andai tidak maka itu adalah pengajaran” Pengajaran buat nyaliku sendiri untuk menguatkan niat meredahi sejuk dan jerih perih 7km plus 4.9km ke puncak, pengajaran buatku untuk tidak sama sekali menyamakan atau membandingkan suatu pengalaman dengan pengalaman yang lain dan seharusnya mengenal untuk mencintai bukan sekadar merentap beg dan menyumbat perkakas secara autopilot sahaja sedangkan seharusnya dipacu oleh kesedaran yang penuh demi mengurangkan kebarangkalian serangan anxiety sepanjang program. Pengajaran juga untuk anak muda membuka hati fokus kepada arah tuju kendalian profesi sebagai malim yang bukan hanya menjaga alam tetapi juga menjaga pelawat. Begitu besar taraf si Malim yang mana sekiranya kami teruskan pendakian nisbah pendaki dengan malim ialah 4 : 16 yang punya kuasa untuk melindungi keselamatan pendaki, ini bererti tugas malim bak Superhero tanpa cape yang menerangi, mengimbangi malah merupakan elemen terpenting dalam memastikan sesebuah pendakian yang berhasil.
Terima kasih Team HOAS yang menjemput untuk aku turut serta pada kali ini, terima kasih sobat ahli-ahli pendaki kali ini dalam mengindahkan pengalaman kali ini yang sungguh bermakna buatku karna ini kali pertama aku mampu menghadapi kegagalan ke puncak dengan lapang dada. Sebelum ini aku pernah hampir gagal namun pada waktu itu penguatkuasaan undang-undang larangan ke puncak sekiranya cuaca buruk tidak diketatkan. Terima kasih untuk hiburan dan setiap perkongisian sempat kita gaulkan, pertembungan waktu dalam hidup kita sepanjang 3 hari 2 malam ini ternyata memberikan perspektif baru buatku. Terima kasih hos Dennis Taniskon Lodge dan team.
Semoga citraku membawa lagi langkahku pulang ke Sinua untuk menghirup secangkir kopi panas di puncak Trusmadi. Amin.